Friday, December 30, 2011

Majlis Pendaftaran Tingkatan 1 Tahun 2012

Majlis Pendaftaran Pelajar Tingkatan 1 Tahun 2012 telah diadakan pada 30 Disember 2012 (Jumaat) bermula pukul 8.00 pagi sehingga pukul 12.00 tengah hari. Majlis yang bertempat di Dewan SMKTPM ini dirasmikan oleh Pengetua SMKTPM, Puan Sri Norliah Binti Adam. 

Semasa menyampaikan ucapan beliau, tuan Pengetua mengucapkan selamat datang ke SMK Tinggi Perempuan Melaka dan tahniah kerana terpilih sebagai pelajar sekolah ini. Beliau mengingatkan para pelajar Tingkatan 1 agar terus berusaha mempertingkatkan kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum tanpa meminggirkan kecemerlangan sahsiah dan peribadi.

Majlis turut diisi dengan penyampaian taklimat mengenai suntikan HPV oleh Dr. Nor Azura Binti Abu dari Klinik Kesihatan Tengkera, Melaka kepada ibu bapa dan pelajar. taklimat ini bertujuan memberikan kefahaman yang jelas kepada ibu bapa tentang kepentingan suntikan ini kepada anak-anak mereka memandangkan penyakit kanser serviks merupakan kanser kedua tertinggi yang dihidapi oleh wanita di negara ini. Kemudian, ibu bapa diberikan borang kebenaran mendapatkan suntikan untuk diisi menandakan persetujuan mereka.

Tamat majlis di dewan, ibu bapa mendaftar di kelas yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah untuk menjelaskan yuran, menyemak dan menghantar butiran diri kepada guru tingkatan serta mendapatkan barang keperluan asrama bagi memudahkan urusan ibu bapa.

Pihak sekolah mengucapkan selamat memulakan sesi persekolahan tingkatan 1 di sekolah ini dan semoga berjaya.

No comments:

Post a Comment