Majlis Pendaftaran Pelajar-Pelajar Tingkatan 1

Pada 31 Disember 2010 (Jumaat), SMK Tinggi Perempuan Melaka telah mengadakan Majlis PendaftaranPelajar-Pelajar Tingkatan 1 bertempat di Dewan SMK Tinggi Perempuan Melaka.

Majlis bermula pada jam 8.00 pagi ini bertujuan untuk mengalu-alukan kedatangan murid Tingkatan 1 Rancangan Khas dan Tingkatan 1 Kawalan bagi sesi persekolahan tahun 2011 ke SMK Tinggi Perempuan Sekolah Kluster Kecemerlangan.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan dan taklimat oleh Yang Berbahagia Datin Hajah Norliah Binti Adam, Pengetua SMKTPM diikuti pendaftaran kelas dan asrama di kelas masing-masing. Murid-murid dan ibu bapa kemudiannya membeli barangan keperluan di koperasi dan di asrama yang menawarkan harga yang berpatutan dan berkualiti.

Objektif program ini ialah :
1) Memperkenalkan Visi dan Misi sekolah yang perlu dihayati oleh murid selaku warga baru di sekolah ini.
2) Memberikan pendedahan dan penghayatan budaya serta suasana pembelajaran di peringkat sekolah menengah.
3) Memberikan peluang untuk murid mengenali potensi diri serta merancang masa depan kerjaya sebagai murid SMK Tinggi Perempuan Melaka yang berprestij tinggi.
4) Mewujudkan perasaan bangga kerana terpilih sebagai murid di sekolah ini.
5) Menanamkan perasaan kecintaan dan sayang kepada sekolah.

Kehadiran murid-murid Tingkatan 1 selaku warga baru sekolah ini amat dialu-alukan sebagai langkah permulaan mencorakkan kejayaan di sekolah menengah yang penuh berprestij dan berpotensi dalam melahirkan insan yang cemerlang baik dalam bidang sahsiah, akademik dan kokurikulum. Majlis bersurai pada jam 12.00 tengah hari.